Pages

Thursday, May 3, 2007

Pemantapan Organisasi, Prasyarat Kemenangan Islam

Oleh: Abu Muhammad Azim

Saidina Ali pernah berkata, “Kebenaran tanpa ada sistem dan strategi yang rapi akan dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem dan berperancangan.” Begitulah bunyinya betapa penting sesebuah organisasi itu dimantapkan dari segi pengurusan, perancangan dan tindakan. Sesebuah organisasi perlu diurus dan ditadbir secara bersistem dan kreatif agar perjalanannya tidak kelihatan lesu dan kaku, yang akhirnya memberi fitnah kepada gerakan Islam itu sendiri.

Dalam ucapan alu-aluan Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Malim dalam mesyuarat agung tahunan Pas Kawasan Tanjong Malim kali ke 25, menegaskan bahawa mutakhir ini, banyak isu-isu yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada pendokong gerakan Islam, tetapi pendokong gerakan masih gagal menggarap isu-isu ini dan memanfaatkannya. “Antaranya isu rasuah, penyalah gunaan kuasa, kepincangan pengurusan ekonomi, peningkatan kadar jenayah, pemborosan elit dan banyak lagi, hinggalah ke isu Monggolia.” Katanya lagi.

Antara lain, beliau juga mengingatkan kepada semua ahli yang mendokong gerakan Islam supaya memenuhi masjid dan surau untuk solat berjamaah. “Kita akan diberi kemenagan oleh Allah, tetapi kemenangan hanya diberi dengan syarat jamaah Solat Subuh bagaikn jamaah Solat Jumaat.” Tegasnya.

Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir, merupakan Ketua Penerangan Pas Perak telah merasmikan Mesyuarat Agung kali ke 25 yang diadakan di Markas Tarbiyyah Pas Kawasan Tanjong Malim pada 28 April 2007. Ucapan beliau juga menyentuh tentang bagaimana memahami dan menguruskan sesebuah organisasi. “Sikap ‘apati’ atau tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling adalah musuh utama dalam menguruskan sesebuah organisasi.”

Nasihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat apabila ditanya tentang kenapa beliau tidak bercuti, sedangkan beliau mempunyai peruntukan cuti tahunan. Secara berhikmah, Tn Guru menjawab, “ Saya tidak mahu bercuti, takut mati dalam masa sedang bercuti.” Hal ini bertepatan pula dengan pandangan Imam Syafie, katanya “Minta bercuti bagi kerja dakwah tidak sesuai bagi orang yang beramanah, sedangkan orang-orang lain bertungkus-lumus menjalankan kerja dakwah.”

Sewaktu berucap juga, perasmi menyarankan apa perlu dilakukan supaya Pas sebagai wadah perjuangan gerakan Islam di Malaysia disenangi oleh masyarakat. Antaranya “Pas perlu mendekati, bukan menjauhi mad’unya, Pas perlu menyayangi, bukan membenci, dan Pas perlu menerangi, bukan menyerang..” Ustaz Misbahul Munir mengakhiri ucapannya dengan memetik kata-kata Hassan al Banna “Kamu jadi seperti pokok, manusia baling kamu dengan batu, tetapi kamu baling mereka dengan buah””.

Mesyuarat yang dihadiri oleh kira-kira 150 perwakilan itu berakhir pada pukul 4.00 petang dengan jawatan YDP Pas Tanjong Malim dimenangi tanpa bertanding oleh Ustaz Zulqarnain bin Hassan.