Pages

Friday, April 27, 2007

Sesuatu Yang Kita Jarang Sedar

Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya." (Surah Al-A'raf: ayat 34)
BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.
Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia sebenarnya adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meskipun mata manusia hanya mampu melihat alam benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.
Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi'e biasa sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Dia mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yamg lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, "sebab apa si pulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?".
Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berlegar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang soleh itu jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah, iaitu para rasul a.s.w., para nabi-nabi, para wali-wali dan orang-orang solihin.

Selain itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai sebab-sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam. Sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlaku kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana menghidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang telah diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.

p/s:untuk ingatan diri sendiri dan sahabat-sahabat ...

Sabar menempuh jalan ,tetapkan Iman di hati...

Tuesday, April 24, 2007

Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Tg Malim



Pada hari Ahad, 25 Mac lalu, telah diadakan mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Tanjong Malim (B) kali kelima bertempat di Markas Tarbiyyah Pas Kawasan Tanjong Malim, Serigala, Slim River. Mesyuarat telah dirasmikan oleh ahli jawatankuasa Pas Negeri Perak iaitu Ustaz Nuri al-Amin bin Endut. Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang membanggakan dengan kehadiran perwakilan-perwakilan yang begitu bersemangat berhujah dan meyampaikan idea-idea bernas untuk dibincangkan dan direalisasikan bersama oleh pemuda-pemuda kawasan Tanjong Malim. Para pemerhati daripada mahasiswa-mahasiswa juga menyerikan lagi majlis yang diadakan.
Majlis bermula seawal jam 9.00 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari yang didatangkan khas dari Maahad Abbasiyyah, Sungkai. Ucapan Yang Di Pertua Pas Kawasan, Ustaz Zulqarnain bin Hassan banyak menekankan tentang peranan pemuda yang perlu sentiasa ke hadapan dalam segala hal. Katanya lagi, “ Pengalaman saya sewaktu di Mesir, yang menggerakkan pertubuhan atau pergerakan Ikhwan Muslimin adalah terdiri daripada pemuda-pemuda yang sedia berjuang dan sentiasa proaktif dalam menangani isu-isu semasa. Mereka bermati-matian dalam segala hal dan terbukti pemuda memang mampu membawa perubahan”

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pemuda Pas Tanjong Malim telah melontarkan idea dan mengajak semua perwakilan dan pemerhati berfikir lebih ke hadapan. Beliau menegaskan “ Apa akan berlaku dalam masa sepuluh tahun dari sekarang, dan di mana kita.” “Apa perubahan yang kita nak bina dan adakah kita akan lahir sebagai individu yang dibentuk oleh suasana semasa atau kita yang bertanggungjawab membentuk suasana semasa ke arah tuntutan Islam sebenar.” Tegas beliau lagi.

Perasmian dilakukan dengan jayanya oleh Ustaz Nuri al-Amin dengan menegaskan pentingnya gerakerja yang tersusun, sistematik dan efisyen demi menzahirkan dakwah yang berkesan kepada masyarakat. Beliau juga menekankan sifat-sifat mulia yang harus ada kepada pemimpin seperti berlapang dada, berjiwa besar dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dalam apa jua tugasan dan tindakan.

Mesyuarat menyaksikan pengekalan jawatan ketua pemuda dan perlantikan beberapa ajk pemuda yang baru menggantikan ajk yang berpindah dan melebihi had umur kepemudaan. Mesyuarat berlangsung penuh dengan suasana ukhuwah sehingga selesai dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Nik Abdul Hadi.

Sunday, April 22, 2007

PERARAKAN SEMPENA PESTA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruh-Nya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlak terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang-orang yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.

Bismillahir Rahmanir Raheem,
Tahun 2007 menyaksikan Malaysia sekali lagi menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM). Adalah menjadi harapan kerajaan dan segelintir rakyat tahun ini jumlah bilangan pelancong yang melawat negara kita bertambah. Terutama selepas banyak dana rakyat yang dibelanjakan demi mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan walaupun bagi diri saya, tidak ada apa yang menarik untuk dipamerkan di sini.
Apa yang ada? Kesan tinggalan sejarah yang membuktikan betapa lemahnya orang kita hingga dengan mudah diperdayakan oleh bangsa kulit putih dan mengangkat mereka sebagai penasihat yang wajib didengari kata-katanya? Atau menyaksikan bagaimana akibat kerasukan segelintir pemimpin merebut takhta pemerintahan sehingga sanggup membiarkan pulau-pulau penting diserahkan sebagai bayaran pertolongan bangsa penjajah?

Atau mungkin pelancong boleh melawat Menara Berkembar Petronas yang pernah ditabalkan sebagai menara berkembar tertinggi di dunia? Atau bergembira dengan taman-taman tema yang rakyat tempatan hanya mampu melihat dari luar kerana tidak mampu membayar harga tiket yang terlalu mahal? Bukanlah kerana rakyat kita bergaji kecil tetapi kerana duit telah habis digunakan untuk membayar yuran pelajaran anak, petrol, tol dan sebagainya.

Atau terus menonton anak-anak gadis kita tergadai maruahnya menggoyangkan punggung bagi menghiburkan pelancong atas nama tarian tradisional? Atau apa lagi? Saya akui industri pelancongan mempunyai kesan yang baik terhadap ekonomi negara kita tetapi keterlaluan menggamit pelancong akan menyebabkan lebih banyak kesan negatif dari positif. Terutama untuk kita yang berbangga sebagai sebuah negara Islam. Walaupun sekadar Islam Hadhari.

Termasuk di dalam jadual perayaan di TMM 2007 ini adalah Perarakan Kereta Berhias bersempena dengan Pesta Flora 2007 yang berlangsung baru-baru ini. Saya tidak sempat dan berminat untuk menyertainya tambah lagi ianya diadakan di Putrajaya. Jauh dari kediaman saya. Cuma saya berkesempatan menonton sedutan persiapan yang diadakan sebelum perarakan bermula melalui klip yang dimainkan di akhir Buletin Utama siaran TV3.

Memang gah. Tidak mustahillah jika ada yang mengatakan sebuah kereta memakan belanja sehingga ratusan ribu ringgit. “Alangkah bagusnya jika wang itu disalurkan kepada anak-anak miskin yang tidak dapat melanjutkan pelajaran akibat kesempitan hidup. Atau untuk mereka yang terpaksa merayu sumbangan orang awam demi menjalani suatu pembedahan bagi menyelamatkan nyawa. Atau disalurkan kepada mangsa banjir. Bukan?”

Dalam melihat betapa gahnya kereta-kerata berhias yang dipamerkan, saya terpandang kepada satu lembaga yang besar. “Gajah? Patung gajah?” Saya bertanya sendirian. Rupanya ahli keluarga saya yang lain juga turut terpandang. “Buat apa patung gajah itu di situ? Akan turut diarakkah nanti?” Bisik hati saya lagi. Hairan. Apa kena mengena patung gajah dengan bunga-bungaan? Gajah berasal dari bungakah? Atau bunga berasal dari gajah?

Dan pada malam minggunya, Buletin Utama menyiarkan pula klip sambutan tersebut. Ternyata patung gajah itu benar-benar ada. Kebetulan abang saya juga ada di rumah kami ketika itu. Kami saling berpandangan. “Eh! Ini dah macam perarakan berhala ni!” Kata saya kepada abang saya yang membuatkan dia menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Hati saya jadi tidak tenteram. Bagaimana perkara sebegini boleh terjadi?

Ke mana agaknya pergi mufti yang sebelum ini sibuk memperkatakan tentang bida’ah, yang sibuk mengutuk kerja-kerja amr-bil-maâruf, nahi-‘anil-mungkar yang dijalankan oleh jabatan-jabatan agama? Ke mana agaknya menghilang ustazah yang dilantik menjadi ahli parlimen yang kononnya sangat alim? Apakah mereka tidak tahu, perbuatan mengarakkan patung sama seperti perbuatan masyarakat jahiliyah dahulu?

Apa? Adakah atas nama ekonomi dan penyuburan industri pelancongan, maka kegiatan haram sebegini terpaksa dihalalkan? Tidak ada pengecualian di sini. Tidak cukupkah kita melakukan modifikasi terhadap Islam dengan menggugurkan hukum hudud sehinggakan kini kita mula membenarkan berhala diarak oleh orang yang mengaku Islam? Di manakah sebenarnya kelebihan Islam Hadhari berbanding Islam yang dibawa Nabi saw sebenarnya?

Perperangan Islam terhadap berhala bukan bermula selepas pengutusan Muhammad saw sebagai rasul Allah lagi. Malah ratusan tahun sebelum itu. Tentu kita masih ingat kisah di zaman Nabi Ibrahim as di mana kaum beliau begitu taksub dengan patung-patung yang mereka bina sendiri. Patung-patung itu diarak dan diraikan lebih dari seorang raja lagi. Dan usaha menentang ini diteruskan dengan pengutusan Nabi saw sehinggalah ke hari ini.

Kita sudah ditimpa dengan berbagai bala bencana sebagai peringatan dari Allah. Tetapi mengapakah kita masih enggan mengambil pelajaran? Bukan sahaja golongan pejuang agama terus ditindas, bahkan upacara maksiat terus diberi tempat dan diagung-agungkan. Program televisyen pula dipenuhi dengan acara menanam propaganda. Hinggakan artis diberi peluang mencela hukum Allah secara ‘live’ asalkan tidak mencela kerajaan.

Dan kini, berhala gajah pula diarak. Walaupun bukan untuk disembah, perbuatan ini sebenarnya memalukan kita, sebagai umat Islam. Bukan setakat itu, bahkan ia juga memalukan agama Islam keseluruhannya malah lebih utama, turut memalukan Allah. Apabila orang Islam turut berkelakuan seperti orang kafir, maka dari segi manakah orang Islam ini dapat dimuliakan? Sila beritahu!

Seorang teman saya selalu berkata. Kita terlalu sibuk dengan perkara-perkara cabang (furu’) sehinggakan terlupa perkara-perkara yang utama. Kita sibuk dengan kekhilafan antara mazhab hingga lupa perkara yang dipersetujui oleh keempat-empat mereka. Kita sibuk bicarakan bidaah atau tidak menyapu muka selepas solat sehingga lupa berbicara tentang orang yang enggan bersolat dan seperti yang ini, mengarakkan berhala gajah.

Mungkin ada yang berkata, “Apa la.... ini hanya untuk mempercantikkan lagi perarakan. Patung gajah itu bukan untuk sembahan”. Sama ada untuk disembah atau tidak, patung yang punyai sifat fizikal yang sempurna dengan benda yang hidup adalah berhala. Dan tidak ada berhala yang halal disimpan atas alasan apa sekalipun. Apatah lagi jika dibawa berarak. Dan lebih-lebih lagi, ada agama yang menyembah patung yang hampir serupa.

Kita sudah punyai berhala besar Tugu Negara yang diagungkan apabila Perdana Menteri meletakkan kalungan bunga pada hari kemerdekaan. Berhala besar ini terus dibela oleh rakyat dan para pemimpin atas nama memperingati pengorbanan pejuang silam. Kini giliran berhala kecil pula menguasai masyarakat Muslim. Agaknya, setelah ditimpa bencana sebesar manakah baru kita akan sedar dan insaf? Semoga Allah memelihara kita dari kemusnahan.

Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah.

-Abu Naqibah-

POLIGAMI : SIS INGIN MENGUBAH HUKUM ALLAH

Serangan pemikiran yang berlaku ke atas Islam sekarang datang dari pelbagai penjuru. Jika ia datang dari Barat, itu adalah sesuatu yang wajar tetapi yang menyedihkan, kadang-kadang ia dilakukan oleh golongan yang kononnya ingin membela Islam, tetapi sebenarnya dipenuhi oleh pemikiran kufur. Atas alasan memperjuangkan hak-hak wanita, Sisters In Islam (SIS) sekali lagi menunjukkan kelancangan mereka terhadap hukum Allah. Seperti biasa, gerakan feminis ini nampaknya tak pernah berhenti menyerang dan mempertikaikan hukum Islam yang sudah terlalu jelas kebenarannya, hukum apalagi jika bukan ’poligami’. Inilah salah satu hukum yang sentiasa menjadi agenda kuffar Barat untuk menyerang Islam, yang bagi mereka bertentangan dengan Hak Asasi Manusia. Kejayaan kuffar Barat di dalam merasuk pemikiran umat Islam ini ternampak jelas melalui perjuangan yang sama yang direalisasikan oleh SIS, satu gerakan yang bertopengkan Islam walhal merupakan pemuja kepada pemikiran Barat. Bermula pada Januari 2007, SIS kini giat menjalankan soal-selidik untuk mengkaji kesan-kesan poligami ke atas institusi keluarga. Ianya bermula daripada projek induk yang telah dijalankan pada Mac 2005. Daripada objektif kajian yang telah digariskan, kajian itu kononnya dibuat bagi melihat apakah kesan poligami ke atas keharmonian, emosi, kewangan dan hubungan sosial di kalangan ahli-ahli keluarga yang ketua keluarganya mengamalkan poligami.
Sejak dari awal penubuhannya, SIS telah menjadikan ‘perjuangan hak-hak wanita’ sebagai agenda utama mereka. Di dalam hal poligami, SIS beranggapan bahawa poligami boleh mengancam kebahagiaan dan keharmonian institusi keluarga. Bertolak dari sini, mereka cuba untuk menjadi ‘heroin’ yang kononnya akan menyelamatkan wanita dari ditindas oleh golongan lelaki. Yang peliknya, tajuk pilihan mereka tetap poligami, seolah-olah dunia ini penuh dengan penindasan oleh lelaki yang berpoligami, dan dunia akan mengalami kehancuran jika perkara ini tidak disekat. Padahal, daripada fail-fail yang menimbun di Mahkamah, banyak sekali kes penderaan rumahtangga, perceraian, tuntutan nafkah, harta sepencarian, penjagaan anak dan bermacam pengabaian tanggungjawab oleh suami terhadap isteri berlaku di dalam kes-kes yang melibatkan perkahwinan monogami. Jadi, mengapa mereka tidak melakukan kajian terhadap amalan monogami? Apakah sebenarnya agenda mereka? Memperjuangkan hak-hak wanita atau memperjuangkan perkara yang dibenci oleh wanita? Bentuk soal-selidik yang dirangka itu dilihat akan mengarahkan kepada hasil yang mereka hasratkan agar pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat lelaki Muslim daripada melakukan poligami.
Persoalan seterusnya, mengapa SIS tidak melakukan soal-selidik ke atas lelaki-lelaki yang mempunyai wanita simpanan, maksudnya, ke atas wanita yang menjadi perempuan simpanan? Ini kerana, kebanyakan dari wanita yang menjadi perempuan simpanan sebenarnya sedar dan tahu bahawa mereka adalah ‘perempuan simpanan’ bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan mereka sebenarnya redha dan suka menjadi perempuan simpanan. Mungkin juga SIS tidak melakukan kaji selidik dalam hal ini kerana bagi SIS ini bukan satu penindasan ke atas wanita, sebab perbuatan haram yang dilakukan itu adalah atas dasar suka sama suka, apatah lagi jika mereka memang hidup bahagia melakukan perbuatan terkutuk itu. SIS lebih berminat kepada perbuatan yang tidak disukai oleh wanita (seperti poligami), walaupun halal, dan inilah yang dikatakan penindasan!

SIS Memesongkan Dalil
Beberapa kenyataan SIS yang dikeluarkan sebelum ini memperlihatkan sikap sebenar mereka terhadap isu ini. Salah seorang aktivis SIS, Ruzana Udin pernah mengatakan bahawa, “Kami mahukan sistem undang-undang yang ada pada hari ini menyekat amalan poligami di kalangan lelaki Muslim”. Melalui sumber yang sama, Setiausaha Eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah mendakwa poligami tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman ini. Di samping itu, Ruzana Udin juga pernah mengeluarkan hujah dengan mengatakan bahawa Rasulullah sendiri tidak menggalakkan amalan poligami. Dia merujuk kepada satu hadis tentang bagaimana Rasulullah melarang Saidina Ali ra dari ‘menduakan’ isterinya, iaitu Fatimah binti Muhammad. Tambahnya lagi, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri tidak memilih wanita muda dan lebih cantik untuk baginda kahwini seperti yang sedang diamalkan oleh lelaki Muslim di Malaysia” [AFP, 4/3/2003]. Pengarah Eksekutif SIS, Zainah Anwar pula mengatakan bahawa, “poligami bukanlah hak mutlak bagi lelaki dan monogami adalah amalan yang menjadi kebiasaan. Amalan poligami selalunya akan menghakis kebahagiaan sesebuah keluarga.” [AFP, 17/3/2003]
Menurut seorang lagi aktivis SIS, Zaitun Mohamed Kasim, dalil daripada Al-Quran yang membenarkan seseorang lelaki Muslim untuk melakukan poligami sebenarnya disertakan dengan pra-syarat bagi lelaki untuk berlaku adil. Dia memetik pra-syarat tersebut berdasarkan petikan ayat: “Kemudian jika kalian khuatir tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja.” [TMQ an-Nisa’(4):3] [Seminar ERA Consumer on 26th September 2002, Dungun]. SIS juga mendakwa, An-Nisa ayat 3 diturunkan untuk membenarkan kaum lelaki Muslim berpoligami kerana pada ketika itu, ramai di kalangan isteri-isteri di Madinah yang kehilangan suami kerana mati syahid di dalam Perang Uhud. Daripada penafsiran SIS, ‘berlaku adil’ itu adalah pra-syarat bagi mana-mana lelaki Muslim yang hendak melakukan poligami. Jika mereka tidak mampu untuk berlaku adil, maka mereka tidak boleh meneruskan niat mereka untuk berpoligami.
Hujah SIS tidak terhenti setakat itu sahaja. Kalau boleh, mereka ingin terus menghentikan amalan poligami. Ini kerana pada pandangan mereka tidak seorang pun lelaki di dunia ini yang mampu berlaku adil. Mereka menyandarkan pandangan tersebut kepada firman Allah yang bermaksud, “Kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian.” [TMQ an Nisa’ (4):129]. Daripada penafsiran SIS, ayat ini membuktikan bahawa tidak ada mana-mana lelaki di muka bumi ini yang akan mampu untuk bersikap adil terhadap isteri-isteri mereka. Dan disebabkan ‘berlaku adil’ itu adalah satu pra-syarat, serta tidak ada mana-mana lelaki Muslim yang dapat memenuhi pra-syarat tersebut, maka amalan poligami ini mesti dihentikan sama sekali.

Makna Dan Penjelasan Sebenar Dalil
Inilah cara pemikiran kufur yang ada pada SIS. Apabila mereka membenci sesuatu perkara, maka mereka mencari dalil untuk membenarkan hujah mereka. Al-Quran ditafsir agar sesuai dengan kehendak mereka. Dengan kata lain, tafsiran dibuat berpandukan akal dan hawa nafsu serta dilakukan dalam rangka untuk merubah hukum Allah, bukan untuk memahaminya. Para mufassirin, imam-imam mazhab dan para ulama telah lama menafsir dan menjelaskan ayat-ayat tersebut dan mereka tidak pernah berselisih mengenainya. Sebenarnya jika ditanya, antara tafsiran para ulama dan tafsiran SIS, yang manakah perlu diikuti? Kami yakin semua orang sudah mengetahui jawapannya. Jika hendak dibandingkan di antara imam-imam mazhab yang tidak pernah diragui ketinggian bahasa Arab mereka, keikhlasan, keilmuan dan dekatnya mereka dengan Allah, dengan pihak SIS, semua orang tentunya telah dapat menilai yang mana racun dan mana penawar, mana intan dan mana kaca, mana hidayah dan mana dhalalah. Namun demikian, kami akan tetap menerangkan tafsiran yang sebenar agar Allah mencurahkan hidayah-Nya kepada mereka yang ikhlas ingin memahami dan beramal dengannya.
Penafsiran tentang tindakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang melarang Saidina Ali ra untuk berpoligami bukanlah bermakna Rasulullah tidak menggalakkan atau jauh sekali melarang poligami. Hadis tersebut mestilah dilihat secara menyeluruh dengan mengaitkan dengan hadis-hadis yang lain. Menafsirkan hanya sebahagian daripada hadis tersebut, akan menyebabkan seseorang itu terjerumus kepada kesalahan kefahaman yang serius. Memang benar Rasulullah telah melarang Saidina Ali ra untuk ‘menduakan’ puteri Rasulullah. Berikut adalah riwayatnya: Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam amat marah ketika mendengar puteri beliau, Fatimah binti Muhammad, akan ‘dimadukan’ oleh Ali bin Abi Thalib ra. Ketika mendengar berita tersebut, Nabi terus masuk ke masjid lalu menaiki mimbar dan berseru: ‘Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al-Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Thalib. Ketahuilah, aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan, kecuali Ali bin Abi Thalib menceraikan puteriku terlebih dahulu, Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku.” [J âmi' al-Ushûl, juz XII, 162, Hadits 9026].
Berdasarkan penerangan Imam Nawawi, perkara utama yang hendak disampaikan di dalam riwayat ini bukanlah berkaitan poligami. Ia berkaitan hasrat Saidina Ali ra untuk memadukan isterinya, Fatimah binti Muhammad bersama puteri Abu Jahal. Kemarahan Rasulullah bukanlah berkaitan perbuatan poligami yang hendak dilakukan oleh Ali ra tetapi ia berkaitan mempersatukan puteri Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan puteri musuh Allah iaitu Abu Jahal [rujuk Syarah Hadis Muslim Li Nawawi]. Di dalam sebuah hadis lain, perkara ini telah diterangkan lagi yang mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah menegaskan bahawa baginda tidak mengharamkan apa yang halal dan menghalalkan yang haram. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “.....Dan sungguh aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah, jangan sekali-kali bersatu puteri Utusan Allah dengan puteri musuh Allah.” [HR. Bukhari].
Oleh itu, kita perlu memahami bahawa larangan di dalam Hadis di atas adalah larangan untuk memadukan antara puteri Rasul Allah dengan puteri musuh Allah, bukannya larangan untuk berpoligami. Tambahan lagi, larangan ini bersifat khusus kepada Ahli al-Bait Rasulullah sahaja dan berlaku di dalam kes ini sahaja, berdasarkan lafaz yang jelas disebut oleh Rasulullah. Dengan kata lain, hadis ini langsung tidak ada kena mengena atau lebih tepat bukan larangan berpoligami oleh Rasulullah kepada umatnya. Ini boleh diperjelaskan lagi dengan ramai di kalangan sahabat seperti Abu Bakar dan Umar sendiri adalah mereka yang mengamalkan poligami, yang tidak pernah dicegah oleh Rasulullah.
Berkenaan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Nikahilah oleh kamu wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua, tiga, atau empat. Akan tetapi, jika kamu khuatir tidak akan dapat berlaku adil maka nikahilah seorang saja.” [TMQ An Nisa’ (4):3), kebenaran berpoligami di dalam ayat ini bersifat mutlak. Ia bukanlah diturunkan semata-mata untuk membenarkan isteri-isteri yang kehilangan suami ketika Perang Uhud dikahwini sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat. Ia diturunkan adalah untuk mengehadkan bilangan maksimum isteri kepada empat orang. Ini adalah kerana, sebelum ayat ini diturunkan, Islam membenarkan seseorang lelaki Muslim mempunyai lebih daripada empat orang isteri sehingga tidak ada dalil yang mengehadkannya. Ayat ini kemudiannya diturunkan untuk membataskan jumlah tersebut kepada empat orang.
Berkenaan meletakkan ‘berlaku adil’ sebagai pra-syarat untuk membolehkan seseorang lelaki Muslim berpoligami seperti mana yang diutarakan oleh Zaitun Mohamed Kasim, hujah ini ternyata timbul dari golongan yang tidak memahami nas dengan benar. Ia juga timbul hasil dari sikap suka ‘mencari dalih’ bagi menyatakan Islam menyekat poligami. Padahal bagaimana mungkin seseorang lelaki Muslim ingin membuktikan bahawa dia mampu berlaku adil jika dia tidak diberikan peluang untuk berpoligami? Adapun firman Allah, “Kemudian jika kamu khuatir tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja” [TMQ an Nisa’(4):3], sebenarnya maksud ‘berlaku adil’ di dalam ayat ini bukan merupakan ‘pra-syarat’ untuk berpoligami tetapi ‘berlaku adil’ itu adalah suatu perintah/hukum berasingan yang dikenakan ke atas lelaki Muslim yang mengamalkan poligami, bukannya syarat ke atas poligami itu sendiri. Dengan kata lain, mana-mana lelaki yang gagal berlaku adil (setelah berpoligami) adalah berdosa. Ini kerana dia telah tidak mematuhi perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala agar ‘bersikap adil’ di dalam perkahwinan poligaminya. Maka mereka akan dihukum sesuai dengan kesalahan yang mereka lakukan.
Tambahan lagi, jika dikaji surah al-Nisa ayat 3 di atas, ia menunjukkan bahawa terdapat petunjuk bahawa kebenaran poligami itu tidak digabungkan dengan perintah bersikap adil. Ini ditunjukkan melalui ungkapan, “Nikahilah wanita-wanita (lain) yang kalian senangi dua-dua, tiga-tiga, atau empat-empat”. Ayat ini mengandungi pengertian mengenai kebolehan berpoligami secara mutlak. Ayat ini sendiri telah pun sempurna sebagai satu ayat. Manakala kemudiannya barulah disambung, “Kemudian jika kamu khuatir…”, di mana kalimat ini merupakan kalimat yang berasingan dan tidak ada hubungan terus dengan kalimat sebelumnya iaitu ia sebagai kalam mustaknif (kalimat lanjutan). Jika ia menjadi syarat, maka ayat tersebut sudah tentu berbentuk lain, umpamanya, “Nikahilah wanita-wanita yang kalian senangi dua-dua, tiga-tiga, atau empat-empat asalkan/jika kalian dapat berlaku adil”. Tetapi ternyata, kefahaman ayat itu bukan sedemikan. [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Nizamul Ijtima’i Fil Islam]
Hukum poligami dan ‘bersikap adil’ datang sebagai satu ‘pakej’. Pakej ini tidak ditawarkan secara berasingan. Maksudnya jika hendak berpoligami, mestilah berlaku adil. Sekiranya hendak berpoligami tetapi tidak mahu bersikap adil, maka adalah lebih baik seseorang lelaki itu untuk tidak berpoligami. Masakan hendak berpoligami tetapi enggan bersikap adil. Inilah yang dimaksudkan dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang lelaki Muslim untuk berkahwin lebih daripada seorang isteri jika mereka khuatir tidak mampu bersikap adil.
Adapun firman Allah, “Kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian” [TMQ an-Nisa’ (4):129], ayat ini juga turut diketengahkan oleh Zaitun Mohamed Kasim sebagai hujah untuk membuktikan bahawa tidak ada lelaki yang mampu bersikap adil. Inilah natijah dari penafsiran akal yang dipandu oleh hawa yang dibuat oleh pihak SIS. Mereka menafsirkan makna ‘adil’ mengikut kehendak hawa mereka, bukannya merujuk kepada nas. Walhal terdapat banyak Hadis Rasulullah yang menjelaskan maksud ‘adil’ dalam ayat di atas. Maksud adil di dalam ayat di atas sebenarnya berhubung dengan keadilan pembahagian cinta dan kasih sayang. Maksudnya, seseorang lelaki itu sesungguhnya tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isterinya di dalam pembahagian cinta dan kasih sayang. Merujuk kepada ayat di atas, Ibn’ Abbas ra menjelaskan bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menyatakan: “Yakni di dalam masalah cinta dan persetubuhan.”
Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri lebih cenderung terhadap (mencintai) ‘Aisyah berbanding isteri-isterinya yang lain, berdasarkan beberapa hadis riwayat Imam Ahmad dan Ahli Sunan yang lain [Tafsir Al-Quran Al-Azim, I/696]. Meskipun demikian, ia tidak mengakibatkan hak-hak isteri yang lain terabai. Keadilan yang diwajibkan kepada seseorang suami adalah bersikap seimbang di antara para isterinya sesuai dengan kemampuan yang ada pada dirinya. Ini termasuklah di dalam hal giliran bermalam, memberi makan, pakaian dan tempat tinggal dan lain-lain yang berkaitan. Jika pihak suami gagal berlaku adil di dalam hal-hal ini, maka mereka boleh dihukum.

Kaji Selidik – Mengkaji Yang Salah
Soal selidik yang dijalankan oleh SIS sebenarnya tidak boleh digunakan sebagai tolok ukur untuk menentukan status kedudukan hukum poligami. Hukum syara’ adalah di tangan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan manusia langsung tidak boleh campur tangan di dalamnya. Apa yang wajib dilakukan oleh manusia hanyalah mendengar dan taat (sami’na wa atha’na) sahaja. Hanya Allah sahaja yang berhak menentukan manakah yang baik atau buruk bagi manusia. Yang pasti, setiap hukum Allah adalah baik dan tidak akan ada keburukan di dalamnya. Sebagai contoh, hukum perang (jihad) adalah baik, walaupun ia mungkin mengakibatkan kecederaan, kehilangan nyawa, anak menjadi yatim, isteri menjadi janda dan sebagainya. Bukanlah hak manusia untuk menjalankan kaji selidik ke atas hukum Allah dan membuat keputusan baik dan buruk terhadapnya. Jika ada perkahwinan poligami yang nampak buruk sekalipun, itu tidak lain adalah kesalahan manusia (sama ada suami atau isteri) yang tidak mematuhi hukum syara’ di dalam perkahwinan tersebut, bukannya keburukan atau kesalahan hukum poligami itu sendiri. Maksudnya, jika suami yang berpoligami tidak berlaku adil (sebagaimana dituntut oleh syara’) maka yang buruk di dalam kes ini adalah suami itu sendiri, bukan poligaminya. Maka suami tersebut perlu dihukum dan dinasihati, bukannya hukum poligami itu yang perlu dihapuskan.
Di sinilah kekeliruan dan kesalahan SIS. Mereka cuba menundukkan hukum syara’ mengikut selera mereka. Oleh sebab kebencian mereka kepada poligami, maka mereka cuba mencari bukti yang menunjukkan keburukan poligami. Hakikatnya, mereka buta bahawa jika kehidupan berpoligami itu benar-benar mendatangkan masalah sekalipun, yang menjadi masalah adalah manusia yang mengamalkannya, bukan hukumnya. Manusia itulah yang wajib diperbetulkan. Menilai baik dan buruk kehidupan berpoligami dengan melihat kepada mereka yang hidup tanpa berpegang kepada hukum Islam adalah satu kesilapan besar. Sama seperti kita ingin mengkaji baik dan buruknya memakai tudung tetapi kita bertanya kepada SIS. Samalah juga kalau kita ingin tahu baik dan buruk terroris, kita bertanya kepada George W Bush. Pendek kata, ingin tahu jalan yang lurus, tetapi bertanya kepada si buta!
Inilah bentuk kajian yang dilakukan oleh SIS, atas alasan kononnya memperjuangkan hak wanita. Yang anehnya, banyak lagi hukum syara’ yang jelas-jelas diperintahkan oleh Allah ke atas manusia, sama ada lelaki atau perempuan, kenapa SIS tidak memperjuangkannya? Jika benar SIS adalah pejuang Islam, khasnya untuk kaum hawa, apakah SIS begitu jahil tidak mengetahui bahawa memakai tudung itu wajib bagi Muslimah? Kenapa hukum yang wajib ini tidak diperjuangkan oleh SIS? Atau SIS ingin merubah hukum Allah sekali lagi dengan menyatakan bertudung itu hanyalah satu fesyen atau tradisi, bukannya satu kewajipan? Kebiadaban SIS dalam usaha merubah hukum Allah ini jelas terlihat dari kata-kata seorang aktivis SIS, Norani Othman, yang menyatakan bahawa poligami adalah satu perkara yang sudah ketinggalan zaman [BH 31/01/07, memetik apa yang diucapkan oleh Noraini di dalam rancangan Wanita Hari Ini di TV3 pada 5 Januari lepas].
Jika inilah pemikiran yang ada pada SIS, maka ini memang tidak ubah dengan pemikiran yang ada pada orang-orang kafir, malah lebih buruk, sebab sebahagian besar dari orang kafir itu sendiri memahami bahawa memakai tudung itu adalah wajib di dalam Islam. Bagi manusia yang tidak mahu mematuhi hukum Allah, Allah swt mengingatkan, “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ayat-ayat Allah); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [TMQ Al-A’raf (7):179]

Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala bertujuan untuk menyelesaikan masalah manusia. Ini termasuklah kebenaran yang Islam berikan kepada lelaki Muslim untuk mempunyai lebih daripada seorang Isteri. Ia adalah suatu bentuk penyelesaian kepada permasalahan dan bukannya punca kepada permasalahan. Ingatlah! Islam itu sempurna dan langsung tidak ada kecacatan atau kekurangan di dalamnya. Sesungguhnya yang menjadi punca kepada masalah adalah apabila manusia itu tidak menerapkan hukum syara’ di dalam kehidupannya. Tingkah laku manusia yang tidak berhukum dengan hukum Allah, inilah yang menjadi punca kepada segala kerosakan.
Wahai kaum Muslimin! Pemikiran-pemikiran yang diperjuangkan oleh SIS adalah pemikiran-pemikiran yang selari dengan pemikiran dan kehendak Barat. Inilah golongan yang memuja Barat dan dipuji oleh Barat. Golongan ini juga diangkat oleh pemimpin-pemimpin yang sekular sebagai golongan yang kononnya memperjuangkan Islam. Jadi tidak hairanlah jika gerakan sebegini terus hidup dan bebas mengeluarkan pendapat walaupun bertentangan dengan Islam. Walau bagaimanapun kami yakin bahawa sebahagian besar dari umat Islam menolak dan membenci golongan ini. Hanya mereka yang cintakan kekufuran akan mencintai golongan ini. Semoga laknat Allah akan terkena ke atas golongan yang merubah hukum-Nya dan semoga mereka mendapat azab yang pedih. Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Membalas segala perbuatan keji orang-orang yang merubah agama-Nya.
“Ya Allah! Hinalah mereka yang menghina agama-Mu, hukumlah mereka yang merubah hukum-hukum-Mu. Amin, amin ya Rabbal ‘alamin.”

SN Keluaran - 02 Februari 2007

KENYATAAN SISTERS IN ISLAM DIPERTIKAI

www.bharian. com.my : 31.01.2007
PADA 5 Januari lalu ketika menonton rancangan Wanita Hari Ini di TV3, saya agak tertarik dengan topik dibincangkan iaitu isu poligami seperti yang kita ketahui poligami menjadi satu subjek hangat diperbincangkan atau dibahaskan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan agama Islam peringkat negeri. Kebanyakan perbincangan berkisar bagaimana poligami ini dapat dilaksanakan dengan cara terbaik dan tidak akan menindas kaum wanita.
Saya berpendapat, perbincangan harus diperluaskan demi kebaikan bersama dan paling utama ialah bagaimana ia dapat memberi kefahaman yang baik kepada semua bahawa poligami adalah satu perkara baik jika dilaksanakan dengan mengikut syarat termaktub dalam al-Quran. Namun, apa yang menyedihkan saya ialah seorang ahli panel wanita dari Sisters In Islam (SIS) iaitu Profesor Dr Noraini Othman ada mengatakan bahawa poligami satu perkara yang sudah ketinggalan zaman.
Saya beristighfar panjang apabila mendengar kenyataan itu daripada mulut seorang ahli akademik. Dr Noraini seolah-olah terlupa bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri mengamalkan poligami. Apakah ini cara dan mesej yang ingin dibawakan mereka yang menggelarkan diri sebagai Sisters In Islam? Saya tidak ingin menyentuh cara penampilan mereka di kaca televisyen yang tidak mencermin sebagai wanita Islam, apa yang menjadi persoalan sekarang ini ialah apakah mereka sedar sesetengah tindakan dan pendapat mereka boleh dianggap cuba menidakkan hukum al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Jika benar apa yang saya dengar daripada mulut Dr Noraini dalam rancangan itu, saya berharap agar beliau segera insaf dan ingat semula apa diperkatakan beliau untuk mengelak kecelaruan di kalangan masyarakat Islam. Pada masa sama, saya berharap mereka dapat menampilkan imej diri wanita Islam sebenar.

PENEGAK SUNNAH
Kemensah Heights,
Hulu Kelang, Selangor.