Pages

Tuesday, July 24, 2007

Sekitar Program Hi Tea Dewan Pemuda Tg Malim





Friday, July 20, 2007

Islam Itu Berputar

By: Abu Muhammad Azim

Maksud Hadis; “Islam itu akan berputar, maka berputarlah kamu mengikut kedudukan Islam”. Demikianlah satu topic perbincangan yang dibahaskan dalam Usrah Dewan Pemuda Pas Tg. Malim pada 19 Julai 2007 yang diadakan di Kuala Slim (Rumah Tn Hj Shahabudin) yang juga merupakan Ketua Pas Cawangan Kampung Kuala Slim.

Perbincangan berkisar tentang perlunya setipa Muslim meneguhkan pendiriannya dan bersama-sama dengan perjuangan Islam walau dalam apa jua keadaan Islam ketika itu. Berputarnya Islam bermaksud Islam itu ada pasang surutnya. Ada kalanya, kedudukan Islam itu di atas, dan ada kalanya Islam itu berada di bawah. Maka, sebagai orang-orang yang beriman dan berjuang menegakkan Islam perlulah istiqamah dengan perjuangan walau apapun keadaan Islam ketika itu.

Rasulullah bersabda ketika berlakunya pembukaan Makkah (Fathul Makkah) tentang Islam itu akan berputar. Walaupun ketika diucapkan, Islam berada di kedudukan yang tinggi, tetapi Rasulullah mengingatkan bahawa akan berlaku putaran yang menyebabkan Islam itu akan berada di bawah. Maka berjayalah orang-orang yang tetap dengan Islam walaupun ketika Islam itu dilihat asing, pelik dan janggal untuk diamalkan ditengah-tengah masyarakat yang bobrok.

Seterusnya, pejuang-pejuang Islam juga diingatkan tentang bahayanya ujian kemewahan yang didatangkan kepada orang-orang beriman. Ini kerana, sunnahnya, manusia boleh bertahan jika diuji dengan kesusahan, tetapi selalu gagal bila diuji dengan kesenangan.

Dalam perbincangan itu juga, Tn Hj. Salam telah menambah lanjutan Hadis tersebut bahawa akan berlaku pertembungan antara Kitab Allah (Al Quran) dengan Sultan (Pemerintah). Kejayaan bagi orang yang beriman akan memihak kepadanya, bilamana ia tetap berpegang dengan Kitabullah (Al Quran). Pemerintah wajib ditaati hanya bila pemerintah itu mentaati Allah. Sebaliknya, haram mentaati pemerintah yang tidak mentaati perintah Allah.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama memastikan diri kita berada bersama golongan-golongan yang beriman dan beramal soleh, yang sentiasa nasihat menasihati kepada perkara yang ma’ruf dan kemungkaran. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk beristiqamah dalam perjuangan Islam hingga kita berjaya bertemu Allah dalam keadaan Allah redha kepada kita dan kita redha kepada Allah. Insyaallah.

Majlis usrah diakhiri dengan sedikit jamuan termasuk durian dan manggis yang disediakan oleh pihak Cawangan Kuala Slim.

Saturday, July 14, 2007

Hari Keluarga Pas Kawasan T.Malim 2006








Sukan Pasti 2007



Thursday, May 3, 2007

Pemantapan Organisasi, Prasyarat Kemenangan Islam

Oleh: Abu Muhammad Azim

Saidina Ali pernah berkata, “Kebenaran tanpa ada sistem dan strategi yang rapi akan dikalahkan oleh kebatilan yang bersistem dan berperancangan.” Begitulah bunyinya betapa penting sesebuah organisasi itu dimantapkan dari segi pengurusan, perancangan dan tindakan. Sesebuah organisasi perlu diurus dan ditadbir secara bersistem dan kreatif agar perjalanannya tidak kelihatan lesu dan kaku, yang akhirnya memberi fitnah kepada gerakan Islam itu sendiri.

Dalam ucapan alu-aluan Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Malim dalam mesyuarat agung tahunan Pas Kawasan Tanjong Malim kali ke 25, menegaskan bahawa mutakhir ini, banyak isu-isu yang dihadiahkan oleh Allah SWT kepada pendokong gerakan Islam, tetapi pendokong gerakan masih gagal menggarap isu-isu ini dan memanfaatkannya. “Antaranya isu rasuah, penyalah gunaan kuasa, kepincangan pengurusan ekonomi, peningkatan kadar jenayah, pemborosan elit dan banyak lagi, hinggalah ke isu Monggolia.” Katanya lagi.

Antara lain, beliau juga mengingatkan kepada semua ahli yang mendokong gerakan Islam supaya memenuhi masjid dan surau untuk solat berjamaah. “Kita akan diberi kemenagan oleh Allah, tetapi kemenangan hanya diberi dengan syarat jamaah Solat Subuh bagaikn jamaah Solat Jumaat.” Tegasnya.

Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir, merupakan Ketua Penerangan Pas Perak telah merasmikan Mesyuarat Agung kali ke 25 yang diadakan di Markas Tarbiyyah Pas Kawasan Tanjong Malim pada 28 April 2007. Ucapan beliau juga menyentuh tentang bagaimana memahami dan menguruskan sesebuah organisasi. “Sikap ‘apati’ atau tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling adalah musuh utama dalam menguruskan sesebuah organisasi.”

Nasihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat apabila ditanya tentang kenapa beliau tidak bercuti, sedangkan beliau mempunyai peruntukan cuti tahunan. Secara berhikmah, Tn Guru menjawab, “ Saya tidak mahu bercuti, takut mati dalam masa sedang bercuti.” Hal ini bertepatan pula dengan pandangan Imam Syafie, katanya “Minta bercuti bagi kerja dakwah tidak sesuai bagi orang yang beramanah, sedangkan orang-orang lain bertungkus-lumus menjalankan kerja dakwah.”

Sewaktu berucap juga, perasmi menyarankan apa perlu dilakukan supaya Pas sebagai wadah perjuangan gerakan Islam di Malaysia disenangi oleh masyarakat. Antaranya “Pas perlu mendekati, bukan menjauhi mad’unya, Pas perlu menyayangi, bukan membenci, dan Pas perlu menerangi, bukan menyerang..” Ustaz Misbahul Munir mengakhiri ucapannya dengan memetik kata-kata Hassan al Banna “Kamu jadi seperti pokok, manusia baling kamu dengan batu, tetapi kamu baling mereka dengan buah””.

Mesyuarat yang dihadiri oleh kira-kira 150 perwakilan itu berakhir pada pukul 4.00 petang dengan jawatan YDP Pas Tanjong Malim dimenangi tanpa bertanding oleh Ustaz Zulqarnain bin Hassan.

Friday, April 27, 2007

Sesuatu Yang Kita Jarang Sedar

Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya." (Surah Al-A'raf: ayat 34)
BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.
Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia sebenarnya adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.

Meskipun mata manusia hanya mampu melihat alam benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.
Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah suatu tabi'e biasa sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Dia mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.

Selain itu mereka juga melihat kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yamg lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, "sebab apa si pulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?".
Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berlegar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau mengerang kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak tertangguh walau sesaat.

Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.

Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak berguna.

Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang soleh itu jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih dahulu kepadanya. Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.

Selain itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah, iaitu para rasul a.s.w., para nabi-nabi, para wali-wali dan orang-orang solihin.

Selain itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.

Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai sebab-sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam. Sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami oleh mereka. Apabila berlaku kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana menghidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.

Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.

Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang telah diamanahkan kepadanya.

Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut datang hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.

p/s:untuk ingatan diri sendiri dan sahabat-sahabat ...

Sabar menempuh jalan ,tetapkan Iman di hati...

Tuesday, April 24, 2007

Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Tg Malim



Pada hari Ahad, 25 Mac lalu, telah diadakan mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Tanjong Malim (B) kali kelima bertempat di Markas Tarbiyyah Pas Kawasan Tanjong Malim, Serigala, Slim River. Mesyuarat telah dirasmikan oleh ahli jawatankuasa Pas Negeri Perak iaitu Ustaz Nuri al-Amin bin Endut. Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang membanggakan dengan kehadiran perwakilan-perwakilan yang begitu bersemangat berhujah dan meyampaikan idea-idea bernas untuk dibincangkan dan direalisasikan bersama oleh pemuda-pemuda kawasan Tanjong Malim. Para pemerhati daripada mahasiswa-mahasiswa juga menyerikan lagi majlis yang diadakan.
Majlis bermula seawal jam 9.00 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari yang didatangkan khas dari Maahad Abbasiyyah, Sungkai. Ucapan Yang Di Pertua Pas Kawasan, Ustaz Zulqarnain bin Hassan banyak menekankan tentang peranan pemuda yang perlu sentiasa ke hadapan dalam segala hal. Katanya lagi, “ Pengalaman saya sewaktu di Mesir, yang menggerakkan pertubuhan atau pergerakan Ikhwan Muslimin adalah terdiri daripada pemuda-pemuda yang sedia berjuang dan sentiasa proaktif dalam menangani isu-isu semasa. Mereka bermati-matian dalam segala hal dan terbukti pemuda memang mampu membawa perubahan”

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pemuda Pas Tanjong Malim telah melontarkan idea dan mengajak semua perwakilan dan pemerhati berfikir lebih ke hadapan. Beliau menegaskan “ Apa akan berlaku dalam masa sepuluh tahun dari sekarang, dan di mana kita.” “Apa perubahan yang kita nak bina dan adakah kita akan lahir sebagai individu yang dibentuk oleh suasana semasa atau kita yang bertanggungjawab membentuk suasana semasa ke arah tuntutan Islam sebenar.” Tegas beliau lagi.

Perasmian dilakukan dengan jayanya oleh Ustaz Nuri al-Amin dengan menegaskan pentingnya gerakerja yang tersusun, sistematik dan efisyen demi menzahirkan dakwah yang berkesan kepada masyarakat. Beliau juga menekankan sifat-sifat mulia yang harus ada kepada pemimpin seperti berlapang dada, berjiwa besar dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dalam apa jua tugasan dan tindakan.

Mesyuarat menyaksikan pengekalan jawatan ketua pemuda dan perlantikan beberapa ajk pemuda yang baru menggantikan ajk yang berpindah dan melebihi had umur kepemudaan. Mesyuarat berlangsung penuh dengan suasana ukhuwah sehingga selesai dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Nik Abdul Hadi.

Sunday, April 22, 2007

PERARAKAN SEMPENA PESTA

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruh-Nya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlak terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang-orang yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.

Bismillahir Rahmanir Raheem,
Tahun 2007 menyaksikan Malaysia sekali lagi menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM). Adalah menjadi harapan kerajaan dan segelintir rakyat tahun ini jumlah bilangan pelancong yang melawat negara kita bertambah. Terutama selepas banyak dana rakyat yang dibelanjakan demi mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan walaupun bagi diri saya, tidak ada apa yang menarik untuk dipamerkan di sini.
Apa yang ada? Kesan tinggalan sejarah yang membuktikan betapa lemahnya orang kita hingga dengan mudah diperdayakan oleh bangsa kulit putih dan mengangkat mereka sebagai penasihat yang wajib didengari kata-katanya? Atau menyaksikan bagaimana akibat kerasukan segelintir pemimpin merebut takhta pemerintahan sehingga sanggup membiarkan pulau-pulau penting diserahkan sebagai bayaran pertolongan bangsa penjajah?

Atau mungkin pelancong boleh melawat Menara Berkembar Petronas yang pernah ditabalkan sebagai menara berkembar tertinggi di dunia? Atau bergembira dengan taman-taman tema yang rakyat tempatan hanya mampu melihat dari luar kerana tidak mampu membayar harga tiket yang terlalu mahal? Bukanlah kerana rakyat kita bergaji kecil tetapi kerana duit telah habis digunakan untuk membayar yuran pelajaran anak, petrol, tol dan sebagainya.

Atau terus menonton anak-anak gadis kita tergadai maruahnya menggoyangkan punggung bagi menghiburkan pelancong atas nama tarian tradisional? Atau apa lagi? Saya akui industri pelancongan mempunyai kesan yang baik terhadap ekonomi negara kita tetapi keterlaluan menggamit pelancong akan menyebabkan lebih banyak kesan negatif dari positif. Terutama untuk kita yang berbangga sebagai sebuah negara Islam. Walaupun sekadar Islam Hadhari.

Termasuk di dalam jadual perayaan di TMM 2007 ini adalah Perarakan Kereta Berhias bersempena dengan Pesta Flora 2007 yang berlangsung baru-baru ini. Saya tidak sempat dan berminat untuk menyertainya tambah lagi ianya diadakan di Putrajaya. Jauh dari kediaman saya. Cuma saya berkesempatan menonton sedutan persiapan yang diadakan sebelum perarakan bermula melalui klip yang dimainkan di akhir Buletin Utama siaran TV3.

Memang gah. Tidak mustahillah jika ada yang mengatakan sebuah kereta memakan belanja sehingga ratusan ribu ringgit. “Alangkah bagusnya jika wang itu disalurkan kepada anak-anak miskin yang tidak dapat melanjutkan pelajaran akibat kesempitan hidup. Atau untuk mereka yang terpaksa merayu sumbangan orang awam demi menjalani suatu pembedahan bagi menyelamatkan nyawa. Atau disalurkan kepada mangsa banjir. Bukan?”

Dalam melihat betapa gahnya kereta-kerata berhias yang dipamerkan, saya terpandang kepada satu lembaga yang besar. “Gajah? Patung gajah?” Saya bertanya sendirian. Rupanya ahli keluarga saya yang lain juga turut terpandang. “Buat apa patung gajah itu di situ? Akan turut diarakkah nanti?” Bisik hati saya lagi. Hairan. Apa kena mengena patung gajah dengan bunga-bungaan? Gajah berasal dari bungakah? Atau bunga berasal dari gajah?

Dan pada malam minggunya, Buletin Utama menyiarkan pula klip sambutan tersebut. Ternyata patung gajah itu benar-benar ada. Kebetulan abang saya juga ada di rumah kami ketika itu. Kami saling berpandangan. “Eh! Ini dah macam perarakan berhala ni!” Kata saya kepada abang saya yang membuatkan dia menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Hati saya jadi tidak tenteram. Bagaimana perkara sebegini boleh terjadi?

Ke mana agaknya pergi mufti yang sebelum ini sibuk memperkatakan tentang bida’ah, yang sibuk mengutuk kerja-kerja amr-bil-maâruf, nahi-‘anil-mungkar yang dijalankan oleh jabatan-jabatan agama? Ke mana agaknya menghilang ustazah yang dilantik menjadi ahli parlimen yang kononnya sangat alim? Apakah mereka tidak tahu, perbuatan mengarakkan patung sama seperti perbuatan masyarakat jahiliyah dahulu?

Apa? Adakah atas nama ekonomi dan penyuburan industri pelancongan, maka kegiatan haram sebegini terpaksa dihalalkan? Tidak ada pengecualian di sini. Tidak cukupkah kita melakukan modifikasi terhadap Islam dengan menggugurkan hukum hudud sehinggakan kini kita mula membenarkan berhala diarak oleh orang yang mengaku Islam? Di manakah sebenarnya kelebihan Islam Hadhari berbanding Islam yang dibawa Nabi saw sebenarnya?

Perperangan Islam terhadap berhala bukan bermula selepas pengutusan Muhammad saw sebagai rasul Allah lagi. Malah ratusan tahun sebelum itu. Tentu kita masih ingat kisah di zaman Nabi Ibrahim as di mana kaum beliau begitu taksub dengan patung-patung yang mereka bina sendiri. Patung-patung itu diarak dan diraikan lebih dari seorang raja lagi. Dan usaha menentang ini diteruskan dengan pengutusan Nabi saw sehinggalah ke hari ini.

Kita sudah ditimpa dengan berbagai bala bencana sebagai peringatan dari Allah. Tetapi mengapakah kita masih enggan mengambil pelajaran? Bukan sahaja golongan pejuang agama terus ditindas, bahkan upacara maksiat terus diberi tempat dan diagung-agungkan. Program televisyen pula dipenuhi dengan acara menanam propaganda. Hinggakan artis diberi peluang mencela hukum Allah secara ‘live’ asalkan tidak mencela kerajaan.

Dan kini, berhala gajah pula diarak. Walaupun bukan untuk disembah, perbuatan ini sebenarnya memalukan kita, sebagai umat Islam. Bukan setakat itu, bahkan ia juga memalukan agama Islam keseluruhannya malah lebih utama, turut memalukan Allah. Apabila orang Islam turut berkelakuan seperti orang kafir, maka dari segi manakah orang Islam ini dapat dimuliakan? Sila beritahu!

Seorang teman saya selalu berkata. Kita terlalu sibuk dengan perkara-perkara cabang (furu’) sehinggakan terlupa perkara-perkara yang utama. Kita sibuk dengan kekhilafan antara mazhab hingga lupa perkara yang dipersetujui oleh keempat-empat mereka. Kita sibuk bicarakan bidaah atau tidak menyapu muka selepas solat sehingga lupa berbicara tentang orang yang enggan bersolat dan seperti yang ini, mengarakkan berhala gajah.

Mungkin ada yang berkata, “Apa la.... ini hanya untuk mempercantikkan lagi perarakan. Patung gajah itu bukan untuk sembahan”. Sama ada untuk disembah atau tidak, patung yang punyai sifat fizikal yang sempurna dengan benda yang hidup adalah berhala. Dan tidak ada berhala yang halal disimpan atas alasan apa sekalipun. Apatah lagi jika dibawa berarak. Dan lebih-lebih lagi, ada agama yang menyembah patung yang hampir serupa.

Kita sudah punyai berhala besar Tugu Negara yang diagungkan apabila Perdana Menteri meletakkan kalungan bunga pada hari kemerdekaan. Berhala besar ini terus dibela oleh rakyat dan para pemimpin atas nama memperingati pengorbanan pejuang silam. Kini giliran berhala kecil pula menguasai masyarakat Muslim. Agaknya, setelah ditimpa bencana sebesar manakah baru kita akan sedar dan insaf? Semoga Allah memelihara kita dari kemusnahan.

Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri.

Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah.

-Abu Naqibah-