Pages

Friday, July 20, 2007

Islam Itu Berputar

By: Abu Muhammad Azim

Maksud Hadis; “Islam itu akan berputar, maka berputarlah kamu mengikut kedudukan Islam”. Demikianlah satu topic perbincangan yang dibahaskan dalam Usrah Dewan Pemuda Pas Tg. Malim pada 19 Julai 2007 yang diadakan di Kuala Slim (Rumah Tn Hj Shahabudin) yang juga merupakan Ketua Pas Cawangan Kampung Kuala Slim.

Perbincangan berkisar tentang perlunya setipa Muslim meneguhkan pendiriannya dan bersama-sama dengan perjuangan Islam walau dalam apa jua keadaan Islam ketika itu. Berputarnya Islam bermaksud Islam itu ada pasang surutnya. Ada kalanya, kedudukan Islam itu di atas, dan ada kalanya Islam itu berada di bawah. Maka, sebagai orang-orang yang beriman dan berjuang menegakkan Islam perlulah istiqamah dengan perjuangan walau apapun keadaan Islam ketika itu.

Rasulullah bersabda ketika berlakunya pembukaan Makkah (Fathul Makkah) tentang Islam itu akan berputar. Walaupun ketika diucapkan, Islam berada di kedudukan yang tinggi, tetapi Rasulullah mengingatkan bahawa akan berlaku putaran yang menyebabkan Islam itu akan berada di bawah. Maka berjayalah orang-orang yang tetap dengan Islam walaupun ketika Islam itu dilihat asing, pelik dan janggal untuk diamalkan ditengah-tengah masyarakat yang bobrok.

Seterusnya, pejuang-pejuang Islam juga diingatkan tentang bahayanya ujian kemewahan yang didatangkan kepada orang-orang beriman. Ini kerana, sunnahnya, manusia boleh bertahan jika diuji dengan kesusahan, tetapi selalu gagal bila diuji dengan kesenangan.

Dalam perbincangan itu juga, Tn Hj. Salam telah menambah lanjutan Hadis tersebut bahawa akan berlaku pertembungan antara Kitab Allah (Al Quran) dengan Sultan (Pemerintah). Kejayaan bagi orang yang beriman akan memihak kepadanya, bilamana ia tetap berpegang dengan Kitabullah (Al Quran). Pemerintah wajib ditaati hanya bila pemerintah itu mentaati Allah. Sebaliknya, haram mentaati pemerintah yang tidak mentaati perintah Allah.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama memastikan diri kita berada bersama golongan-golongan yang beriman dan beramal soleh, yang sentiasa nasihat menasihati kepada perkara yang ma’ruf dan kemungkaran. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk beristiqamah dalam perjuangan Islam hingga kita berjaya bertemu Allah dalam keadaan Allah redha kepada kita dan kita redha kepada Allah. Insyaallah.

Majlis usrah diakhiri dengan sedikit jamuan termasuk durian dan manggis yang disediakan oleh pihak Cawangan Kuala Slim.

0 comments: