Pages

Thursday, November 26, 2009

Nukilan Buat Sang Katak Behrang

KATAK YANG INGIN TERBANG


Kulitnya tidak hijau seperti katak-katak Behrang

Cerah tidak, legap pun tidak

Tapi kalau Sang Katak tertonggok di celah-celah rimbunan

Sesiapapun bisa nampak Sang Katak yang kesungguhan

Sang Katak ingin terbang


Walaupun pelik tapi benar, Sang Katak memuja Mike Tyson

Tumbangkan lawan, tak tunggu lama

Di Timbunan surat-surat orang Behrang

Seorang pos master, terdiam, meraba pipi yang lebam

Kerana mengingkari

Sang Katak ingin terbang


Sang Katak sedar kakinya panjang

Ada yang terliur

Sang Katak pun melunjur

Entah apa silapnya Sang Katak tercekup kebasahan …di Dun sebelah Behrang

Bagi Sang Katak kena tangkap kebasahan, apalah sangat, bila kering nanti

Sang Katak ingin terus terbang


Adakalanya Sang katak sedar asalnya

Kadang duduk tak sama rendah berdiri tak sama tinggi dengan orang Behrang

Kalau ada orang behrang hebat jual ubat

Sang Katak juga hebat jual bekas ubat


Bila hujan reformasi mencurah dan cendawan celik politik bercambah

Sang Katak himpunkan seramai-ramai spesiesnya

Sudahnya orang lupa ubat, beli bekas ubat

Sang Katak rasa sudah dapat lapangan untuk terbang


Kalau dah katak, katak juga

Sang Katak tetap dengan kekatakannya di lapangan

Mahu terbang dengan Jentayu, mereka sudah terbang tinggi

Mahu merayap dengan Naga, mereka membidas laju

Mahu tak mahu Sang Katak maintain low profail bersama-sama spesiesnya

Susun mimpi dalam mimpi

Sesekali kelihatan Sang Katak bisikkan kepada Sang Biawak di tebing sana

Sang Katak ingin terbang

Bila tsunami melanda

Sang Katak tahu ia boleh mula berenang mengikut arus

Sang Katak juga tahu bila taufan reda, itu masa menongkah arus


Untung batu tenggelan, untung sabut timbul

Tak disangka-sangka untung Sang Katak terdampar dalam satu bahtera

Cepat-cepat Sang Katak mohon jadi nakhoda

Tapi kerana Sang Katak lupa belajar bahasa diraja

Sang Katak jadi kelasi kiri sahaja

Tapi, kelasi pun kelasilah

Sang Katak masih ingin terbang


Sang Katak bernasib baik

Terjumpa Sesumpah dalam bahtera

Wajahnya mirip wajah Biawak diseberang sana

Selalulah Sang Katak berenang-renang dan merayap-rayap di luar bahtera

Sang Katak tidak menyangka

Sesumpah sudi menukarkan kulitnya

Biawak pelawa membonceng dibelakangnya

Semuanya mahu tolong

Sang Katak ingin terbang


Tatkala bahtera menempuh gelombang membelah ombak

Nakhoda bermatian bertongkat paruh

Sang Katak hanya menikus dalam lopaknya

Meyapu krim sunblock di peha seksinya

Sesekali Sang Katak keluar menjenguk udara

Sesekali Sang Katak mengintai-ngintai Sang Biawak di luar bahtera

Sesekali Sang Katak bersantai bersama sesumpah dalam bahtera

Semuanya nekad mahu bantu

Sang Katak ingin terbang keluar dari bahtera


Seperti yang diminta-minta

Sang Katak dapat SMS dari entah siapa

Mohon sembunyi diri dalam bahtera

Biar nakhoda terpinga-pinga cari tak jumpa

Biar kelasi-kelasi tercari-cari

Biar Sesumpah dan Biawak meneruskan strategi

…… Sang Katak ingin terbang


Malang menimpa

Tak sempat sembunyi lama-lama

Sang Katak Kelecuran disimbah asid panas oleh nakhoda

Sang Katak melompat tinggi hingga terkeluar dari bahtera

Alih-alih dapat mendarat disisi Altantuya, sesumpah, biawak dan buaya


Lama berendam bersama amfibia-amfibia

Sang Katak berkata kepada dirinya

Daripada meluncur dari bahtera

Lebih baik meluncur dari istana

Jika

Sang Katak ingin terbang


Kini sang katak tiada lagi di dalam bahtera

Mundar manir di luar bersama amfibia

Cicak, ular sawa, biawak padang pasir menjadi sahabat semuanya

Memuji muja… Sang Katak hero amfibia

Berterima kasih tidak terhingga

Sambil bersorak mereka bersenda


Ingatlah katak dirimu siapa

Hendak terbang kepakmu tiada

Hendak berhujah lidahmu bergulung, tidak petah berkata-kata

Hendak berjuang ikhlasmu tiada

Kamu hanya seperti kami, merayap di muka bumi


Jangan peduli…

Apa dikisah dengan pengundi

Terus tak perlu telus, tiada siapa yang Nampak

Pecah tak perlu amanah, lidah tidak bertulang

Agih tak perlu adil, peluang hanya datang sekali

Apa perlu wibawa, kita perlu wang


Walaupun berbau hamis dan hapak sembunyilah dibawah sisik kami

Kalau kamu masih berangan mahu terbang tinggi


Cuma…

Jangan lupa suatu hari nanti

Akhirnya, kami juga akan tidak lagi bersamamu

Bila…

Mahkamah tidak mampu kami beli….. Kota Siputeh sebagai bukti

Hati rakyat tak mampu kami kaburi

Kebenaran dan kedaulatan muncul kembali

Bahtera yang kamu tinggalkan belayar kembali…. Sikit masa lagi

Bila itu semua terjadi

Bila api perjuangan meragut tubuh kerdilmu

Bila tongkat Musa membelah pengkhianatanmu

Kamu sang Katak pasti akan mati katak


Nukilan oleh,

Aminuddin Zulkipli

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tanjung Malim


0 comments: