Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruh-Nya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlak terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang-orang yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem,
Tahun 2007 menyaksikan Malaysia sekali lagi menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM). Adalah menjadi harapan kerajaan dan segelintir rakyat tahun ini jumlah bilangan pelancong yang melawat negara kita bertambah. Terutama selepas banyak dana rakyat yang dibelanjakan demi mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan walaupun bagi diri saya, tidak ada apa yang menarik untuk dipamerkan di sini.
Apa yang ada? Kesan tinggalan sejarah yang membuktikan betapa lemahnya orang kita hingga dengan mudah diperdayakan oleh bangsa kulit putih dan mengangkat mereka sebagai penasihat yang wajib didengari kata-katanya? Atau menyaksikan bagaimana akibat kerasukan segelintir pemimpin merebut takhta pemerintahan sehingga sanggup membiarkan pulau-pulau penting diserahkan sebagai bayaran pertolongan bangsa penjajah?
Atau mungkin pelancong boleh melawat Menara Berkembar Petronas yang pernah ditabalkan sebagai menara berkembar tertinggi di dunia? Atau bergembira dengan taman-taman tema yang rakyat tempatan hanya mampu melihat dari luar kerana tidak mampu membayar harga tiket yang terlalu mahal? Bukanlah kerana rakyat kita bergaji kecil tetapi kerana duit telah habis digunakan untuk membayar yuran pelajaran anak, petrol, tol dan sebagainya.
Atau terus menonton anak-anak gadis kita tergadai maruahnya menggoyangkan punggung bagi menghiburkan pelancong atas nama tarian tradisional? Atau apa lagi? Saya akui industri pelancongan mempunyai kesan yang baik terhadap ekonomi negara kita tetapi keterlaluan menggamit pelancong akan menyebabkan lebih banyak kesan negatif dari positif. Terutama untuk kita yang berbangga sebagai sebuah negara Islam. Walaupun sekadar Islam Hadhari.
Termasuk di dalam jadual perayaan di TMM 2007 ini adalah Perarakan Kereta Berhias bersempena dengan Pesta Flora 2007 yang berlangsung baru-baru ini. Saya tidak sempat dan berminat untuk menyertainya tambah lagi ianya diadakan di Putrajaya. Jauh dari kediaman saya. Cuma saya berkesempatan menonton sedutan persiapan yang diadakan sebelum perarakan bermula melalui klip yang dimainkan di akhir Buletin Utama siaran TV3.
Memang gah. Tidak mustahillah jika ada yang mengatakan sebuah kereta memakan belanja sehingga ratusan ribu ringgit. “Alangkah bagusnya jika wang itu disalurkan kepada anak-anak miskin yang tidak dapat melanjutkan pelajaran akibat kesempitan hidup. Atau untuk mereka yang terpaksa merayu sumbangan orang awam demi menjalani suatu pembedahan bagi menyelamatkan nyawa. Atau disalurkan kepada mangsa banjir. Bukan?”
Dalam melihat betapa gahnya kereta-kerata berhias yang dipamerkan, saya terpandang kepada satu lembaga yang besar. “Gajah? Patung gajah?” Saya bertanya sendirian. Rupanya ahli keluarga saya yang lain juga turut terpandang. “Buat apa patung gajah itu di situ? Akan turut diarakkah nanti?” Bisik hati saya lagi. Hairan. Apa kena mengena patung gajah dengan bunga-bungaan? Gajah berasal dari bungakah? Atau bunga berasal dari gajah?
Dan pada malam minggunya, Buletin Utama menyiarkan pula klip sambutan tersebut. Ternyata patung gajah itu benar-benar ada. Kebetulan abang saya juga ada di rumah kami ketika itu. Kami saling berpandangan. “Eh! Ini dah macam perarakan berhala ni!” Kata saya kepada abang saya yang membuatkan dia menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Hati saya jadi tidak tenteram. Bagaimana perkara sebegini boleh terjadi?
Ke mana agaknya pergi mufti yang sebelum ini sibuk memperkatakan tentang bida’ah, yang sibuk mengutuk kerja-kerja amr-bil-maĆ¢ruf, nahi-‘anil-mungkar yang dijalankan oleh jabatan-jabatan agama? Ke mana agaknya menghilang ustazah yang dilantik menjadi ahli parlimen yang kononnya sangat alim? Apakah mereka tidak tahu, perbuatan mengarakkan patung sama seperti perbuatan masyarakat jahiliyah dahulu?
Apa? Adakah atas nama ekonomi dan penyuburan industri pelancongan, maka kegiatan haram sebegini terpaksa dihalalkan? Tidak ada pengecualian di sini. Tidak cukupkah kita melakukan modifikasi terhadap Islam dengan menggugurkan hukum hudud sehinggakan kini kita mula membenarkan berhala diarak oleh orang yang mengaku Islam? Di manakah sebenarnya kelebihan Islam Hadhari berbanding Islam yang dibawa Nabi saw sebenarnya?
Perperangan Islam terhadap berhala bukan bermula selepas pengutusan Muhammad saw sebagai rasul Allah lagi. Malah ratusan tahun sebelum itu. Tentu kita masih ingat kisah di zaman Nabi Ibrahim as di mana kaum beliau begitu taksub dengan patung-patung yang mereka bina sendiri. Patung-patung itu diarak dan diraikan lebih dari seorang raja lagi. Dan usaha menentang ini diteruskan dengan pengutusan Nabi saw sehinggalah ke hari ini.
Kita sudah ditimpa dengan berbagai bala bencana sebagai peringatan dari Allah. Tetapi mengapakah kita masih enggan mengambil pelajaran? Bukan sahaja golongan pejuang agama terus ditindas, bahkan upacara maksiat terus diberi tempat dan diagung-agungkan. Program televisyen pula dipenuhi dengan acara menanam propaganda. Hinggakan artis diberi peluang mencela hukum Allah secara ‘live’ asalkan tidak mencela kerajaan.
Dan kini, berhala gajah pula diarak. Walaupun bukan untuk disembah, perbuatan ini sebenarnya memalukan kita, sebagai umat Islam. Bukan setakat itu, bahkan ia juga memalukan agama Islam keseluruhannya malah lebih utama, turut memalukan Allah. Apabila orang Islam turut berkelakuan seperti orang kafir, maka dari segi manakah orang Islam ini dapat dimuliakan? Sila beritahu!
Seorang teman saya selalu berkata. Kita terlalu sibuk dengan perkara-perkara cabang (furu’) sehinggakan terlupa perkara-perkara yang utama. Kita sibuk dengan kekhilafan antara mazhab hingga lupa perkara yang dipersetujui oleh keempat-empat mereka. Kita sibuk bicarakan bidaah atau tidak menyapu muka selepas solat sehingga lupa berbicara tentang orang yang enggan bersolat dan seperti yang ini, mengarakkan berhala gajah.
Mungkin ada yang berkata, “Apa la.... ini hanya untuk mempercantikkan lagi perarakan. Patung gajah itu bukan untuk sembahan”. Sama ada untuk disembah atau tidak, patung yang punyai sifat fizikal yang sempurna dengan benda yang hidup adalah berhala. Dan tidak ada berhala yang halal disimpan atas alasan apa sekalipun. Apatah lagi jika dibawa berarak. Dan lebih-lebih lagi, ada agama yang menyembah patung yang hampir serupa.
Kita sudah punyai berhala besar Tugu Negara yang diagungkan apabila Perdana Menteri meletakkan kalungan bunga pada hari kemerdekaan. Berhala besar ini terus dibela oleh rakyat dan para pemimpin atas nama memperingati pengorbanan pejuang silam. Kini giliran berhala kecil pula menguasai masyarakat Muslim. Agaknya, setelah ditimpa bencana sebesar manakah baru kita akan sedar dan insaf? Semoga Allah memelihara kita dari kemusnahan.
Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri.
Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah.
-Abu Naqibah-
Collaboration request
-
Hi there
How would you like to earn a 35% commission for each sale for life by
selling SEO services
Every website owner requires the use of search engin...
10 months ago
0 comments:
Post a Comment