Pages

Sunday, April 22, 2007

KENYATAAN SISTERS IN ISLAM DIPERTIKAI

www.bharian. com.my : 31.01.2007
PADA 5 Januari lalu ketika menonton rancangan Wanita Hari Ini di TV3, saya agak tertarik dengan topik dibincangkan iaitu isu poligami seperti yang kita ketahui poligami menjadi satu subjek hangat diperbincangkan atau dibahaskan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan agama Islam peringkat negeri. Kebanyakan perbincangan berkisar bagaimana poligami ini dapat dilaksanakan dengan cara terbaik dan tidak akan menindas kaum wanita.
Saya berpendapat, perbincangan harus diperluaskan demi kebaikan bersama dan paling utama ialah bagaimana ia dapat memberi kefahaman yang baik kepada semua bahawa poligami adalah satu perkara baik jika dilaksanakan dengan mengikut syarat termaktub dalam al-Quran. Namun, apa yang menyedihkan saya ialah seorang ahli panel wanita dari Sisters In Islam (SIS) iaitu Profesor Dr Noraini Othman ada mengatakan bahawa poligami satu perkara yang sudah ketinggalan zaman.
Saya beristighfar panjang apabila mendengar kenyataan itu daripada mulut seorang ahli akademik. Dr Noraini seolah-olah terlupa bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri mengamalkan poligami. Apakah ini cara dan mesej yang ingin dibawakan mereka yang menggelarkan diri sebagai Sisters In Islam? Saya tidak ingin menyentuh cara penampilan mereka di kaca televisyen yang tidak mencermin sebagai wanita Islam, apa yang menjadi persoalan sekarang ini ialah apakah mereka sedar sesetengah tindakan dan pendapat mereka boleh dianggap cuba menidakkan hukum al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Jika benar apa yang saya dengar daripada mulut Dr Noraini dalam rancangan itu, saya berharap agar beliau segera insaf dan ingat semula apa diperkatakan beliau untuk mengelak kecelaruan di kalangan masyarakat Islam. Pada masa sama, saya berharap mereka dapat menampilkan imej diri wanita Islam sebenar.

PENEGAK SUNNAH
Kemensah Heights,
Hulu Kelang, Selangor.