Pada hari Ahad, 25 Mac lalu, telah diadakan mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Tanjong Malim (B) kali kelima bertempat di Markas Tarbiyyah Pas Kawasan Tanjong Malim, Serigala, Slim River. Mesyuarat telah dirasmikan oleh ahli jawatankuasa Pas Negeri Perak iaitu Ustaz Nuri al-Amin bin Endut. Mesyuarat berlangsung dalam suasana yang membanggakan dengan kehadiran perwakilan-perwakilan yang begitu bersemangat berhujah dan meyampaikan idea-idea bernas untuk dibincangkan dan direalisasikan bersama oleh pemuda-pemuda kawasan Tanjong Malim. Para pemerhati daripada mahasiswa-mahasiswa juga menyerikan lagi majlis yang diadakan.
Majlis bermula seawal jam 9.00 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari yang didatangkan khas dari Maahad Abbasiyyah, Sungkai. Ucapan Yang Di Pertua Pas Kawasan, Ustaz Zulqarnain bin Hassan banyak menekankan tentang peranan pemuda yang perlu sentiasa ke hadapan dalam segala hal. Katanya lagi, “ Pengalaman saya sewaktu di Mesir, yang menggerakkan pertubuhan atau pergerakan Ikhwan Muslimin adalah terdiri daripada pemuda-pemuda yang sedia berjuang dan sentiasa proaktif dalam menangani isu-isu semasa. Mereka bermati-matian dalam segala hal dan terbukti pemuda memang mampu membawa perubahan”
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pemuda Pas Tanjong Malim telah melontarkan idea dan mengajak semua perwakilan dan pemerhati berfikir lebih ke hadapan. Beliau menegaskan “ Apa akan berlaku dalam masa sepuluh tahun dari sekarang, dan di mana kita.” “Apa perubahan yang kita nak bina dan adakah kita akan lahir sebagai individu yang dibentuk oleh suasana semasa atau kita yang bertanggungjawab membentuk suasana semasa ke arah tuntutan Islam sebenar.” Tegas beliau lagi.
Perasmian dilakukan dengan jayanya oleh Ustaz Nuri al-Amin dengan menegaskan pentingnya gerakerja yang tersusun, sistematik dan efisyen demi menzahirkan dakwah yang berkesan kepada masyarakat. Beliau juga menekankan sifat-sifat mulia yang harus ada kepada pemimpin seperti berlapang dada, berjiwa besar dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dalam apa jua tugasan dan tindakan.
Mesyuarat menyaksikan pengekalan jawatan ketua pemuda dan perlantikan beberapa ajk pemuda yang baru menggantikan ajk yang berpindah dan melebihi had umur kepemudaan. Mesyuarat berlangsung penuh dengan suasana ukhuwah sehingga selesai dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Nik Abdul Hadi.